Wednesday, April 2, 2008

SAJAK

Sajak mengungkapkan perasaan & pemikiran penyair secara imaginative dan disusun dengan menumpukan semua kekuatan bahasa, serta bentuk luaran dan bentuk dalaman.

TEMA SAJAK
  1. Tema ialah persoalan pokok yang hendak disampaikan oleh penyajak.
  2. Tema diri: berdasarkan pengalaman diri.
  3. Tema cinta: cinta akan kekasih, ibu bapa, tanah air, bangsa dan negara.
  4. Tema masyarakat: memaparkan simpati dan nasib masyarakatnya di samping saranan penyajak tentang langkah-langkah mengatasinya.
  5. Tema alam: gambaran alam seperti keindahan dan pencemaran alam.
  6. Tema semangat perjuangan / nasionalisme: semnagat pahlawan negara.
  7. Tema ketuhanan & keagamaan: soal kesedihan, kematian, kesedaran dan sebagainya.
BENTUK
  1. Bentuk dalaman: membawa sifat yang lebih abstrak, iaitu cara persembahan perasaan dan pemikiran.
  2. Bentuk luaran: sifat-sifat binaan yang dapat dilihat dengan jelas termasuk susunan baris dalam rangkap, susunan atau jumlah perkataan dalam baris dan susunan rima di hujung baris dalam rangkap.
  3. Bagi puisi Melayu tradisional, sifat-sifat tersebut terbina dengan susunan yang tetap tetapi puisi Melayu moden sebaliknya.
  4. Sajak terikat: bercirikan puisi Melayu tradisional seperti pantun dan syair.
  5. Sajak bebas: tidak lagi menepati ciri-ciri puisi Melayu tradisional daripada segi pembinaan aspek bentuk.
  6. Sajak separuh bebas: ada antara rangkapnya yang terikat dan ada yang bebas daripada ikatan puisi Melayu tradisional.
NADA
  1. Nada ialah alunan lembut, keras, rendah atau tinggi yang terhasil daripada pelbagai jenis bunyi dalam sesebuah sajak yang berhubung erat dengan perasaan, pemikiran dan sikap penyair yang diungkapkan dalam puisinya.
  2. Nada juga berhubung rapat dengan tema, persoalan, rima, jenis dan bentuk sesebuah puisi itu.
  3. Nada melankolik: nada murung yang menggambarkan suasana hati yang sedih. Tekanan suara lebih rendah dan perlahan serta sesuai untuk puisi yang bertemakan penderitaan, kehampaan dan kerinduan.
  4. Nada romantik: menggambarkan suasana hati yang tenang dan menyenangkan. Tekanan suara agak tinggi dan diselangi oleh tekanan suara rendah dan perlahan. Sesuai untuk puisi yang bertemakan peristiwa indah dan menggembirakan.
  5. Nada patriotik: menggambarkan suasana hati yang penuh bersemangat. Tekanan suara lebih tinggi, pantas atau cepat. Sesuai untuk puisi yang bertemakan perjuangan, bercita-cita tinggi, besar dan mulia.
  6. Nada sinis: menggambarkan suasana hati yang kurang senang. Tekanan suara agak rendah dan perlahan, iaitu bersesuaian dengan puisi yang bertemakan hal yang tidak disukai atau kurang dipersetujui.
  7. Nada protes: menggambarkan suasana hati yang penuh pertentangan atau pemberontakan. Tekanan suara lebih tinggi dan pantas. Sesuai untuk puisi yang bertemakan ketidakadilan dan ketajaman.
GAYA BAHASA
  1. Bahasa digunakan untuk memindahkan perasaan dan pemikiran penyair.
  2. Bahasa yang ekonomis datang daripada pembentukan baris-baris yang ringkas dan penggunaan kata yang terbatas, tetapi padat mendukung makna.
  3. Bahasa puisi bersifat konotasi, iaitu mempunyai makna kebih daripada satu, kaya, jauh dan luas pengertiannya. Bahasa denotasi pula mempunyai makna yang khusus seperti di dalam kamus.

No comments: